Tuesday, September 15, 2009

Peluang Mahasiswa Bertemu Mata Dengan Pemimpin

Sambutan Aidilfitri kian hampir, dengan tempoh kurang dari seminggu. Pelbagai acara telah diatur untuk memeriahkan perayaan setahun sekali ini, sehingga kadangkala menenggelamkan sambutan Lailatul Qadar pada hujung Ramadhan.

Aidilfitri kali ini cukup istimewa buat para mahasiswa Kedah khususnya, dan seluruh anak muda Kedah umumnya apabila YAB Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sudi bertemu dengan kita di Himpunan Aidilfitri Mahasiswa Kedah. Acara ini dijadualkan berlangsung pada hari raya ke-3. Walaupun acara ini diadakan untuk memberi peluang kepada para mahasiswa untuk mendapat maklumat secara langsung mengenai isu-isu dalam negeri Kedah, namun mana-mana anak muda Kedah turut dijemput hadir.

Seharusnya peluang ini mesti direbut kerana kesibukan beliau memustahilkan kita dapat berjumpa dan bersua muka dengannya selalu. Ambillah peluang ini untuk berkongsi aspirasi pemimpin negeri kita dan pada masa yang sama berjumpa dengan sahabat-sahabat mahasiswa Kedah yang menuntut di seluruh negara.

Tuesday, September 8, 2009

Nuzul Quran & Lailatul Qadar

Peristiwa Nuzul Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke-41 keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. Perkataan 'nuzul' bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Apabila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad s.a.w maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al-Quran.

'Al-Quran' bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah Al-Quran, sering digandingkan dengan rangkai kata "Al-Quran mukjizat akhir zaman" atau "Al-Quran yang mempunyai mukjizat". Malah inilah sebenarnya kelebihan Al-Quran tidak ada satu perkarapun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam Al-Quran. Dengan perkataan lain segalanya terdapat di dalam Al-Quran. Firman Allah:

"Dan tidak seekor binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)"
(Surah Al-An'am, ayat 38)

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, penawar, cahaya, petunjuk dan penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan Al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai 'An-Nur' yang bererti cahaya yang menerangi, 'Al-Furqan' yang bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan 'Az-Zikr' yang bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi Muhammad s.a.w, ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq yang bermaksud:

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan menusia apa yang tidak diketahuinya"
(Surah Al-Alaq, ayat 1 hingga 5)

Lailatul Qadar pula ialah satu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadhilatnya. Lailatul Qadar dengan Nuzul Quran? Sebenarnya Al-Quran dan Lailatul Qadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah. Antaranya firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada Tuhan yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar"
(Surah Al-Qadar, ayat 1 hingga 5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah s.a.w telah menyebut empat orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa Allah s.w.t menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca Surah Al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan. Ini menjadikan Rasulullah s.a.w dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil dalam sepuluh malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Dari maklumat di atas, serba sedikit sebenarnya banyak yang boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah:

1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam Al-Quran, segenap aspek hidup manusia disentuh di dalam Al-Quran.

2. Ayat pertama diturunkan ialah 'Iqra' iaitu 'Bacalah' dan Allah mengajarkan manusia melalui perantaraan pena dan tulisan.

3. Kelemahan umat Islam beribadat maka Allah menganugerahkan satu masa untuk kita mendapatkannya dan pahala ibadah dilipat gandakan pahala lebih banyak dari seribu bulan.

Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam Al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains, teknologi dan lain-lain. Tafsiran, kupasan, analisis dan penyelidikan secara mendalam tentang Al-Quran membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini seperti yang telah dibuktikan oleh umat Islam yang terdahulu sehingga terbinanya tamadun Islam yang agung.

Manakala penurunan Al-Quran pula didahului dengan kalimah 'Iqra' iaitu 'Bacalah' di mana menunjukkan membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud: "Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya". Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: "Ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa".

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah Lailatul Qadar kepada umat Nabi Muhammad s.a.w sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di sepuluh akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat Lailatul Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai Lailatul Qadar, maka kalangan ulama' ada menyatakan bahawa malam-malam ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 dan 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa Lailatul Qadar itu pernah ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa Lailatul Qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah s.a.w pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa supaya dia bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan Lailatul Qadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatul Qadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan sepuluh malam yang akhir malam dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya Lailatul Qadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah s.w.t supaya setiap umat Islam menghayati sepuluh malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadat di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.

Sebagai kesimpulannya, marilah kita bersama-sama menghayati Nuzul Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat Al-Quran itu sebagai kitab induk panduan ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca Al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan membaca Al-Quran itu kepada menganalisis, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalamnya dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khususnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan, penindasan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkat amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di sepuluh akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan.

Semoga Ramadhan tahun ini yang masih berbaki mendidik hati dapat melentur nafsu kita menjadi hamba Allah yang teracu menurut acuan Al-Quran yang menjadi pusaka tinggalan Rasulullah s.a.w. Selamat meneruskan amal ibadat...

Dipetik dan disunting dari nukilan Dr. Samsu Adabi Mamat (Jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam, UKM) yang dipaparkan di laman web JAKIM